Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya memberikan subsidi upah yang lebih tinggi untuk industri yang menerima impak paling teruk akibat Covid-19 seperti industri pelancongan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemberian subsidi upah seharusnya dikira mengikut peratusan gaji dan bukannya kadar tetap sebanyak RM600 sebulan.

“Pekerja yang berpendapatan sehingga RM4,000 sebulan mungkin boleh ditawarkan (subsidi upah) sebanyak 50 peratus daripada gaji masing-masing manakala untuk pekerja berpendapatan antara RM4,001 dan RM8,000 adalah 30 peratus.

“Pada masa yang sama Pakatan Harapan telah mencadangkan supaya bantuan bulanan kebajikan masyarakat dinaikkan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur.

“Bayaran sekali sahaja hanya menjadi bantuan sementara kepada penganggur dan tidak membantu pemain industri bertahan dan kekal dalam industri pelancongan ketika ia pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, tanpa langkah-langkah kewangan tersebut, sektor pelancongan sukar untuk bertahan apabila mencatat kerugian sebanyak RM100 bilion pada tahun ini.

Rancangan survival pelancongan yang kukuh perlu dilaksanakan bagi mengimbangi kerugian sebesar itu, tegasnya.

“Pemberian kewangan dan kredit pinjaman sekarang tidak mencukupi, dan keluhan yang sering kedengaran adalah kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak bank,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast