SINGAPURA – Tun Rahah Mohamed Noah merupakan sumber kekuatan, keberanian dan inspirasi keluarganya serta seluruh rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Allahyarhamah berdiri teguh di sisi suaminya, Tun (Abdul) Razak (Hussein), semasa beliau mengemudi Malaysia pada waktu-waktu yang kritikal dalam sejarah negara itu,” kata Lee dalam hantaran terkini di laman Facebooknya hari ini.

“Allahyarhamah akan dikenang kerana kesetiaannya kepada negara dan keluarga,” kata beliau lagi dalam hantaran yang turut memuat naik gambar Tun Rahah.

Tun Rahah, 87, yang merupakan isteri Perdana Menteri kedua Malaysia, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court di sini petang semalam.

Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah Mohamed Noah, yang juga ibu Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di Lingkaran Makam Pahlawan Masjid Negara.

Pada permulaan hantaran itu, Lee menulis bahawa beliau “amat berdukacita” apabila mendengar berita pemergian Tun Rahah, yang juga ibu Perdana Menteri Keenam Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama dengan keluarga serta rakyat Malaysia sepanjang tempoh berkabung ini,” kata Lee sebelum mengakhiri hantaran itu dengan parapnya, LHL. – Bernama