Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berhenti membisu dan mengarahkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menghentikan persiapan menamatkan perkhidmatan feri ikonik.

Sebaliknya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu meminta kerajaan memudahkan semula penyambungan operasi feri seperti biasa pada 1 Januari 2021.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mendakwa sejak Menteri Kewangan membuat keputusan meneruskan perkhidmatan feri, belum ada maklumat sama ada operasi pengangkutan itu akan diteruskan seperti yang diarahkan.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mengingatkan sekiranya Ka Siong dan Pengerusi PPC, Tan Teck Cheng memilih untuk menentang arahan Menteri Kewangan, maka ia akan mencetuskan pertikaian undang-undang.

“Mampukah Kementerian Pengangkutan mengabaikan syarat untuk meneruskan perkhidmatan feri yang dikenakan oleh Kementerian Kewangan melalui dana RM30 juta kepada PPSB untuk memudahkan pengambilalihan perkhidmatan feri Pulau Pinang,” soalnya.

Sebelum ini, Guan Eng menggasak Ka Siong untuk membuktikan bila dan di mana beliau dan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pernah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang telah beroperasi sejak 126 tahun lalu.

Beliau mendakwa rakyat negeri itu telah dikhianati oleh pemimpin MCA apabila mahu menamatkan perkhidmatan pengangkutan yang menjadi warisan di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette