KAJANG – Inilah penghambaan moden!

“Bilik sempit umpama kandang kerbau, kotor dan berbau hancing”.

Itu reaksi Datuk Seri M. Saravanan yang terkejut selepas meninjau sendiri keadaan penginapan pekerja asing di sebuah kilang memproses sarung tangan di Batu 13 Cheras, Kajang pagi ini.

Serbuan itu dilakukan dengan kekuatan 60 anggota daripada Jawatankuasa Tindakan Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Pemandangan di sekitar tempat penginapan pekerja asing sebuah kilang sarung tangan di Batu 13, Cheras Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2020.

Menteri Sumber Manusia itu sedih apabila melihat kehidupan pekerja warga asing yang ‘dilonggokkan’ dalam dua kontena panjang pada ketinggian 1.5 meter yang dijadikan bilik.

Kontena yang sepatutnya menempatkan 100 orang sahaja tetapi dimuatkan seramai 751 orang.

“Saya amat sedih melihat keadaan ini. Kita pernah melihat penjajahan British dan selepas merdeka, warga kita bekerja di ladang-ladang getah jauh lebih baik kemudahan pennempatan perumahan dari penginapan pekerja asing di sini.

“Tetapi sekarang hampir lebih 60 tahun kita melihat keadaan jauh lebih teruk seperti kandang kerbau dan sebagai menteri, saya cukup malu,” katanya ketika ditemui media selepas menyertai serbuan mengejut itu.

Sebahagian pekerja kilang disoal siasat semasa operasi serbuan penginapan buruk pekerja asing sebuah kilang sarung tangan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) di Batu 13, Cheras Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2020.

Saravanan turut membayangkan jika berlaku kejadian buruk seperti kebakaran dalam kontena berkenaan,  pastinya semua pekerja di dalamnya akan terperangkap.

Katanya, walaupun industri sarung tangan getah merekodkan prestasi yang baik kerana mengaut keuntungan 400 kali ganda semasa pandemik Covid-19, malangnya pekerja-pekerja yang menjadi tulang belakang syarikat menerima layanan buruk.

“Saya tak pasti bagaimana pekerja-pekerja asing ini dapat hidup dalam suasana kotor dan sempit serta bahaya semata-mata untuk mendapatkan wang,” ujar beliau.

Saravanan melakukan tinjauan di luar kontena yang dijadikan penginapan pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan di Batu 13, Cheras Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2020.

Susulan serbuan itu, Jabatan Tenaga Kerja akan mengenakan tindakan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), yang mana majikan boleh dikenakan RM50,000 bagi setiap satu kesalahan.

Beliau turut menggesa semua pihak berkuasa tempatan di negara ini supaya mengenal pasti kejadian seumpama ini tanpa perlu menunggu serbuan atau operasi JTK.

Kepada majikan, Saravanan memberi amaran agar menyediakan penginapan yang sempurna kepada pekerja-pekerja bagi mengelakkan tindakan berat dikenakan ke atas mereka.

Para pekerja asing melakukan kerja-kerja penghasilan sarung tangan di sebuah kilang yang terletak di Batu 13, Cheras Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2020.

”Kalau majikan tak mampu memberi penginapan selesa jangan ambil pekerja asing. Ambil pekerja tempatan dengan bayar gaji RM2,000 hingga RM3,000 kerana mereka ada tempat tinggal sendiri,” ujarnya.

”Saya juga akan meminta syarikat kilang ini disenaraihitamkan daripada mendapatkan pekerja asing selepas ini. Mereka sama sekali tak boleh beri alasan kekangan kewangan sebagai alasan cuai memberi kebajikan dan penginapan pekerja,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.