Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid (tengah) melakukan gimik Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 di Publika, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) berpuas hati dengan pematuhan peraturan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 yang dikuatkuasakan bermula hari ini

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid yang mengadakan pemantauan di sebuah pasar raya di Publika, Solaris berkata, rata-rata peniaga mematuhi keperluan yang telah ditetapkan di premis perniagaan mereka.

“Memang berpuas hati kerana hasil tinjauan kami mendapati kebanyakan mereka patuh terutamanya kategori barangan di bawah skim yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ada 19 jenis barangan yang dikawal harga antaranya seperti ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

“Tempoh SHMMP ialah selama 10 hari dari 22 sehingga 31 Disember, kerajaan sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan terutamanya semasa rakyat menyambut musim perayaan,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid (tengah) melakukan pemeriksaan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 di Publika, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2020.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2020 serta Kempen Membeli Barangan Malaysia di Publika Solaris di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau memberi ingatan kepada peniaga yang menaikkan harga barangan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 .

Menurut Rosol, notis di bawah Seksyen 21 akta itu turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan.

Dalam pada itu, Rosol mengambil kesempatan untuk meninjau gerai-gerai yang menjual serta mempromosi barangan buatan Malaysia di pusat membeli belah itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid (tengah) melihat barangan sempena Kempen Beli Barangan Malaysia selepas lawatan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 di Publika, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2020.

Seemtara itu, beliau berkata, kementeriannya akan sentiasa menyokong penuh kempen membeli barangan buatan Malaysia.

“Barang-barang buatan kita sendiri juga tidak ada kurang hebatnya, barangan tempatan juga mempunyai kualiti yang hebat dan baik sebenarnya. Kita kena galakkan diri serta yang lain untuk sentiasa menyokong dan membeli barangan tempatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette