ICQS Rantau Panjang

KOTA BHARU – Sebuah lori yang dilihat dalam keadaan mencurigakan sebaik keluar daripada Kompleks ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas, membongkar tindakan pemandunya yang membawa lebihan muatan berisi daging ayam beku bernilai RM98,400, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 4.50 petang semalam, sepasukan anggota ‘Strike Force’ Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), telah membuat pemerhatian terhadap sebuah lori jenis Hino berwarna putih yang keluar daripada kompleks berkenaan.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata, anggotanya yang membuat pemantauan terus mengekori lori tersebut sehingga Bonggol Kulim dan bertindak menahan lori di tepi jalan.

Beliau berkata sebaik ditahan, pemandu lori diminta mengemukakan dokumen pengenalan diri dan invois berkaitan muatan barangan yang dibawa.

“Anggota memeriksa di bahagian belakang lori tersebut, mendapati terdapat kotak-kotak warna coklat yang berisi ayam sejuk beku.

“Bagaimanapun, setelah diperiksa dokumen yang dikemukakan dengan kuantiti kotak di dalam lori tersebut meragukan. Pemandu bersama lori kemudiannya ditahan dan dibawa pulang ke Komtak PGA Taman Bakti Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori itu mendapati kuantiti jumlah kotak yang berisi ayam sejuk beku  adalah melebihi dan tidak sama dengan dokumen yang dikemukakan.

Katanya, susulan itu kesemua lebihan kotak yang berisi ayam sejuk beku dirampas manakala kotak yang berisi ayam sejuk beku yang telah diisytiharkan dipulangkan balik kepada pemilik seperti mana jumlah yang dinyatakan dalam dokumen.

“Siasatan awal kami mendapati modus operandi mereka adalah dengan menyembunyikan barangan di sebalik kotak-kotak lain, di ruang belakang lori.

Dokumen yang dibawa pula berbeza dengan jumlah sebenar di dalam lori, disyaki bertujuan menggelak daripada membayar cukai tambahan,” katanya.

“Kesemua barangan bersama pemandu lori berusia 24 tahun akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut. Keseluruhan rampasan termasuk daging ayam beku dan lori adalah RM368,400,” katanya.

— BERNAMA