Ketua Pegawai Modal Insan Lembaga Tabung Haji (TH), Rina Sarif.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Modal Insan Lembaga Tabung Haji (TH), Rina Sarif telah menerima anugerah Women in HR Leadership Awards.

Anugerah itu adalah sempena majlis Malaysia Leadership Awards anjuran World HRD Congress ke-28 edisi 2020-2021 yang berlangsung secara dalam talian dan dipancarkan ke seluruh dunia.

Sebelum ini, anugerah World HRD Congress telah berjaya menarik lebih 1, 800 penyertaan sektor profesional daripada 133 buah negara seluruh dunia.

Antara kategori baharu yang diperkenalkan adalah Diversity Award dan Women in HR Leadership Awards.

“Saya berasa amat bersyukur dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof dan semua warga TH atas sokongan yang diberikan.

“Selain itu, saya juga berharap agar pencapaian ini menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada warga TH untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dalam menjadikan TH sebuah organisasi yang berprestasi tinggi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahan Rina berjaya menjenama semula Jabatan Sumber Manusia kepada Jabatan Modal Insan.

Seterusnya, gaya kerja beliau yang menekankan aspek kerja berorientasikan hasil dan impak serta berdaya saing tinggi, mendorong kualiti kerja warganya yang lebih efisyen dan proaktif.

Dalam masa yang sama TH mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Rina dan berharap kejayaan beliau akan menjadi inspirasi kepada semua wanita di Malaysia khususnya golongan profesional dalam kepimpinan dunia korporat. – MalaysiaGazette