KUALA LUMPUR- Tanpa menunggu lama, penceramah bebas yang juga dermawan terkenal, Ustaz Ebit Lew bergegas ke Pulau Pinang sebaik membaca berita mengenai S. Ganesh dan keluarganya yang terpaksa menginap di dalam kereta sejak lapan bulan lalu.
Menurut Ebit, beliau sedang berada di Johor Bahru ketika mengetahui berita tersebut dan hari ini beliau terus ke Pulau Pinang untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga malang itu.
Katanya, beliau telah menyewakan sebuah rumah tiga bilik yang lebih selesa, selain turut menghadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, periuk nasi, dapur, kipas, katil, barang-barang dapur dan duit belanja.
Menurut penceramah bebas itu, beliau akan membayar sewa rumah tersebut untuk tempoh sebulan sementara Ganesh sekeluarga mendapatkan rumah PPRT.
Bagaimanapun, sekiranya keluarga berkenaan berhasrat untuk terus tinggal di situ, beliau bersedia untuk membayar sewanya.
“Sedihnya lapan bulan makan tidur dalam kereta.
“Mandi di tandas awam.
“Kerja guard (pengawal keselamatan) di waktu malam bawa keluarga tidur dalam kereta.
“Rumah mereka terbakar bulan April.
“Semua habis musnah. Sedihnya rasa. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang baru lepas bersalin hanya dalam kereta sahaja.
“Tengok muka anak (mereka) comel sangat. Ceria sahaja muka mereka semasa saya belikan kek dan makan dengan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ganesh, 34, dan isterinya, Parameswari, 32, bersama tiga anak mereka yang berusia 8 dan 6 tahun serta seorang bayi terpaksa tinggal di dalam kereta selepas kediaman mereka di Lebuh Carnavon, dekat Georgetown terbakar pada 6 April lalu.
Mereka menjadikan tandas awam di beberapa lokasi sebagai tempat untuk membersihkan diri dan mendapatkan sumber air.- MalaysiaGazette