Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31 tahun, dari Kuala Lumpur ditemukan pada pukul 8.55 pagi oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan di pantai itu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.- Gambar Bernama TV.

MARANG – Mayat bakal pengantin yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut Jumaat lepas, ditemukan terdampar di Pantai Alur Tuman di sini pagi ini.

Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Kuala Lumpur ditemukan pada 8.55 pagi oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan di pantai itu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata ayah mangsa Kamaruddin Abdullah, 59, telah dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah anaknya berpandukan beberapa identiti.

“Mayat dijumpai dalam keadaan yang sempurna tanpa sebarang kecederaan dan akan dihantar ke forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Dengan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Kelulut ditamatkan dan tumpuan akan diberi untuk satu lagi operasi mencari lelaki yang masih belum ditemukan di Pantai Jambu Bongkok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Naim Hariri datang ke Terengganu pada Khamis lepas dijadualkan bernikah dengan tunangnya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung semalam.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.