Sebanyak 20,897 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan diseluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Negeri Selangor terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 697 kes atau 43.7 peratus daripada semua kes baharu Covid-19 diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 194 kes hari ini.

Johor pula mencatatkan sebanyak 191 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Bagi Negeri Sembilan (160), Sabah (157), Pulau Pinang (69), Perak (47), Kelantan (28), Melaka (14), Kedah (12), Pahang (11), Putrajaya (9) dan Terengganu (3) dan Sarawak (2).

Perlis dan Labuan tidak mempunyai sebarang kes.

Menurut Noor Hisham dalam kenyataan media hari ini memaklumkan terdapat lima kluster baharu telah dikenalpasti hari ini.

Kluster itu adalah seperti berikut:

  • Kluster tapak bina Jalan Gadang – Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Kuala Lumpur.
  • Kluster Menara Sri – Kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa di Kuala Lumpur serta daerah Kerian di Perak.
  • Kluster Bukit Pasir – Ia juga kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Muar di Johor.
  • Kluster Pintu Geng – Kluster melibatkan daerah Kota Bharu di Kelantan.
  • Kluster Putra 15 – Kluster tempat kerja melibatkan  Putrajaya.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 214 kluster.

Manakala daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini, katanya.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Hentian (261 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (42 kes), dan Kluster Ceram (40 kes). – MalaysiaGazette