Tawaran yang disediakan oleh Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM) itu dilanjutkan sehingga 30 April 2021, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.- Gambar hiasan.

DENGAN pengumuman pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah sehingga 14 Januari 2021, kini timbul persoalan dalam kalangan ibu bapa, murid, guru dan juga anggota masyarakat tentang nasib sesi persekolahan tahun 2021 yang dijadualkan bermula 20 Januari depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mengumumkan tarikh pembukaan sekolah bagi sesi 2021 berlaku secara dua fasa iaitu, kelompok pertama merangkumi murid sekolah rendah tahun 1 hingga 6 dan murid sekolah menengah tingkatan 1, 4, 5 (2020 dan 2021) dan 6 akan memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari 2021 secara bersemuka. Manakala murid tingkatan 2 dan 3 akan kembali ke sekolah secara bersemuka mulai 8 Mac 2021.

Jadi semua tumpuan kini terarah kepada kelompok pertama yang akan bermula 20 Januari nanti apakah kes di kawasan PKPB akan turun secara mendadak sekali gus kerajaan dapat menamatkan PKPB yang membolehkan sekolah dimulakan mengikut tarikh tersebut ataupun kemungkinan besar kes akan terus naik tinggi atau statik seperti sekarang dan PKPB terpaksa dilanjutkan yang bermakna sesi persekolah tersebut perlu ditunda lagi?

Walaupun ada kemungkinan PKPB ditamatkan pada 14 Januari dan sekolah boleh dimulakan mengikut jadual yang telah ditetapkan, namun jika kita bijak mengamati dan meneliti secara jujur trend turun naik kes terutamanya di Lembah Klang, kemungkinan besar kes tidak akan turun secara mendadak dan mengejut menjelang 14 Januari nanti.

Maka kemungkinan besar ini akan mendorong kerajaan melanjutkan lagi tempoh PKPB dan sudah semestinya sekolah di kawasan tersebut akan turut terjejas.

Justeru setelah mengambil kira keadaan semasa di mana bilangan kes di negara kita terus membimbangkan dengan lebih dari 1,000 kes hampir setiap hari setelah pelbagai kelonggaran diberikan dalam tempoh PKPP dan PKPB termasuk kelululusan merentas daerah dan negeri serta sikap rakyat kita yang sudah mulai leka dan cuai, adalah lebih wajar untuk pihak KPM menyemak semula takwim persekolahan 2021 yang telah dikeluarkan sebelum ini.

KPM perlu bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan menjelang 14 Januari sekali gus bersiap siaga dengan pelan kontingensi yang sepatutnya bagi meredakan keresahan dan kebimbangan ibu bapa.

KPM ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan, antaranya ialah, menunda takwim persekolahan secara bersemuka kelompok pertama yang dijadualkan pada 20 Januari ini dan disekalikan dengan kelompok kedua pada 8 Mac 2021. Bermaksud sesi persekolahan 2021 secara bersemuka bermula 8 Mac 2021 untuk semua murid.

Semua murid boleh memulakan home-based learning atau pembelajaran secara dalam talian mulai 20 Januari 2021 terlebih dahulu. Hal ini juga agak signifikan dengan jangkaan kita akan mula menerima vaksin pada Februari sekali gus boleh mengurangkan kerisauan semua pihak menjelang Mac 2021.

Namun harus diingat jika KPM memilih pilihan ini, ianya akan memberi kesan langsung kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang sepatutnya kembali ke sekolah pada 20 Januari untuk menyambung sesi ulang kaji serta peperiksaan percubaan dan kemudiannya menduduki peperiksaan SPM 2020 pada Februari. Apa nasib mereka jika takwim ditunda terus ke bulan Mac? Sudah semestinya tidak wajar untuk kita melewatkan lagi tarikh peperiksaan SPM 2020.

Justeru antara pilihan terbaik yang boleh kita cadangkan ialah, hanya calon SPM sahaja dibenarkan kembali ke sekolah termasuk di kawasan PKPB dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat mulai 20 Januari 2021 dan meneruskan takwim SPM seperti yang dijadualkan. Manakala murid-murid lain semuanya meneruskan pembelajaran secara dalam talian dan hanya kembali ke sekolah mulai 8 Mac 2021.

Kita yakin bilangan calon SPM yang tidak begitu ramai berbanding semua murid hadir ke sekolah boleh mengurangkan kesesakan serta risiko jangkitan mahupun penularan wabak. Pihak sekolah juga pasti dapat mengurus dan mengawal kelompok kecil ini dengan lebih mudah dan berkesan.

Namun dalam konteks ini aspek pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian perlu terus dimantapkan agar dapat kita mempertingkatkan keberkesanannya secara berterusan. Di samping itu pihak kerajaan juga perlu terus membantu murid dan keluarga yang ada masalah capaian internet, pembelian data internet serta ketiadaan peranti yang bersesuaian untuk sesi pembelajaran secara dalam talian.

Kita tidak mahu ada lagi murid yang tercicir kerana boleh memberikan kesan yang besar terhadap pencapaian akademik mereka. Walaupun ini juga satu pilihan yang amat berat terutamanya kepada ibu bapa yang merisaukan prestasi akademik anak-anak, namun pada ketika ini kita terpaksa mengutamakan aspek keselamatan kesihatan terlebih dahulu.

Tuntasnya, KPM wajar meneliti dan menyemak semula takwim yang telah dimumumkan tempoh hari dengan mengambil kira perkembangan semasa penularan wabak yang masih begitu merisaukan semua pihak. Semoga KPM dapat mencapai satu keputusan yang menang-menang yakni terus mengutamakan akademik dan juga kesihatan murid-murid dan diharap dapat mengumumkannya dengan segera untuk pengetahuan semua. – MalaysiaGazette

— NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED merupakan penganalisis isu semasa 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast