Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Covid-19 cases deaths
Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Malaysia terus merekodkan kes harian baharu Covid-19 empat angka pada hari ini iaitu sebanyak 1,925 kes.

Negeri Selangor pula terus merekodkan bilangan kes harian tertinggi untuk 14 hari berturut-turut iaitu sebanyak 747 kes (38.8 peratus) hari ini.

Dalam pada itu, megeri Pahang juga menjadi negeri ketiga yang merekodkan kes tertinggi tiga angka selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes sembuh Covid-19 hari ini sebanyak 1,123 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 86,715 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes harian terbaharu hari ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 108,615 kes.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 21,443 kes dan daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari  luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah sebanyak 1,915 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 747 kes (38.8 peratus) dan daripada jumlah ini, sebanyak 625 kes (83.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ia diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 360 kes (18.7 peratus) dan Pahang sebanyak 288 kes (15.0 peratus) disusuli Sabah 230 kes dan Johor 110 kes.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan sebanyak 282 kes (98.0 peratus).

Justeru tegasnya, sebanyak 307 kes (15.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (282 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (sembilan kes), Kluster Tembok Gajah (sembilan kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes) dan Kluster GK Tawau (1 kes).

Malah katanya, sehingga kini, terdapat 117 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan dua kes kematian akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 457 kes atau 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kedua-dua kematian itu melibatkan warga tempatan iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berstatus warga emas berusia 65 dan 68 tahun.

“Kes kematian ke-456 adalah kes ke-91, 966 dari Putrajaya berlatar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan strok telah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Manakala kes kematian ke-457 adalah kes ke-103,895 wanita dari Kelantan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik telah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” katanya.- MalaysiaGazette