ROSOL WAHID
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Syarikat import yang dikaitkan dengan kartel daging yang menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan didakwa di mahkamah esok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah menyita syarikat berkenaan dan merampas daging sejuk beku yang terdapat dalam gudang serta lori miliknya.

Beliau yang masih merahsiakan nama syarikat itu berkata, dari siasatan, anggota penguatkuasa KPDNHEP telah merampas kira-kira 5,000 keping pelekat logo halal palsu, 24 unit cop (rubber stamp) pelbagai nama, dan 2,428 kotak daging beku di gudang berkenaan yang bernilai RM738,640.

“Kemudian, kita juga menyita dua lori yang mengandungi barangan import menggunakan logo halal palsu Jakim bernilai kira-kira RM1.03 juta.

“Esok, kita akan dakwa syarikat tersebut atas tindakan memalsukan. Apa yang kita dapati, syarikat ini telah memalsukan sijil halal dan cop halal untuk menjual daging sejuk beku secara tidak sah,” katanya ketika menjawab usul dibangkitkan Ahli Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Menurut Rosol, Malaysia ketika ini mengimport daging dari 53 negara termasuk Argentina, Bangladesh, Belgium, Brazil, Brunei, China, Chili, Denmark, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Jepun, Belanda, New Zealand, Pakistan, Filipina, Poland, Singapura, Afrika Selatan, Taiwan, Thailand, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Vietnam dan sebagainya.

Justeru, katanya, bagi melegakan hati rakyat Malaysia terutama umat Islam, KPDNHEP menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasa Halal bagi menyelarskan tindakan undang-undang.

Jelas beliau, jawatankuasa itu turut dianggotai Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) setiap negeri.

“Ini bagi memastikan apa yang dimakan oleh kita adalah halal,” katanya. – MalaysiaGazette