RS Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Pastinya tahun 2020 telah banyak memberi pengajaran termasuk ketidaktentuan politik tanah air.

Penularan Covid-19 turut memberi kesan yang besar keada negara, malah sehingga saat ini kita masih terus berperang membanteras virus itu.

Berikutan itu, Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran mengingatkan masyarakat supaya jangan memandang ringan perkara tersebut dan dijadikannya iktibar untuk menghadapi cabaran akan datang.

Beliau mengharapkan kemunculan 2021 akan lebih aman, stabil daripada segi kesihatan, ekonomi dan politik dengan kerajaan memberi fokus kepada rakyat.

“Ramai sedang melalui saat sungguh getir ketika ini, ramai telah hilang kerja, dalam proses hilang kerja, hilang punca pendapatan, ada juga syarikat, kedai dan perniagaan terpaksa di tutup. Ramai masih tertanya apakah nasib mereka selepas ini.

“Kita juga dalam keadaan pandemik dan norma baharu dalam menjalankan kehidupan harian kita lagi-lagi, SOP perlu dipatuhi kerana kita memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan kita sendiri.

“Tidak cukup dengan itu, keadaan politik haru biru yang penuh dengan kejutan serta segala macam krisis dengan ada antaranya lebih bersifat agenda sendiri. Semua ini pastinya menjadi igaun kita rakyat Malaysia,” katanya ketika melawat MalaysiaGazette semalam.

Menurut Thanenthiran, Makkal Sakthi berharap agar keadaan lebih baik dalam mengekang penularan Covid-19 pada tahun depan.

“Semoga kita juga diberikan kecekalan serta kesabaran tinggi dalam mengharungi tahun yang kemungkinan besar juga dikatakan mencabar tetapi seandainya kita bertekad, semuanya boleh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Thanenthiran turut mengingatkan kerajaan serta ahli politik supaya lebih fokus kepada rakyat kerana sudah terlalu banyak kejutan serta retorik berlaku ketika negara berdepan Covid-19.

Menurutnya tahun 2021 mungkin lebih mencabar dan memerlukan proses pemulihan ekonomi yang lebih konsisten selain membantu rakyat dalam menghadapi cabaran mendatang. – MalaysiaGazette