Beberapa kediaman di kawasan perumahan dekat Ask, Gjerdrum yang rosak dan musnah selepas dilanda tanah runtuh. foto Irish Times.

OSLO – Seramai 10 orang cedera termasuk salah seorang kritikal selepas tanah runtuh melanda 12 kediaman di kawasan perumahan Gjerdrum.

Kejadian yang berlaku pada jam 4 pagi itu turut menyebabkan 11 orang dilaporkan hilang.

Susulan itu, lebih daripada 900 orang telah dipindahkan dari kawasan berkenaan.

Operasi menyelamat dan mencari masih dijalankan untuk mengesan mangsa-mangsa yang terperangkap dalam lumpur dan runtuhan.

“Kami cukup yakin bahawa ada orang terperangkap di kawasan yang terjejas, tetapi kami tidak tahu sama ada kesemuanya 11 orang atau apakah jumlahnya lebih kecil,” kata jurucakap polis, Roger Pettersen pada sidang akhbar.

Foto di laman web itu menunjukkan kawah besar dengan bangunan yang musnah di bahagian bawahnya.

Ada bangunan lain tergantung di tepi kawah, berdasarkan rakaman televisyen.

Raja Norway, Harald mengatakan tanah runtuh itu memberi kesan mendalam kepadanya.

Helikopter masih berlegar-legar di kawasan kejadian sepanjang malam di kawasan kediaman yang runtuh.

“Mungkin ada mangsa yang terperangkap…tetapi pada masa sama kami tidak pasti memandangkan sekarang cuti Tahun Baru, bermakna mungkin ada penduduk yang berada di tempat lain.” kata Perdana Menteri, Erna Solberg.

“Terdapat dua gegaran besar, pada awalnya saya menganggap salji sedang dibersihkan. Kemudian bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan seorang jiran datang meminta kami keluar dengan segera,” ,” kata seorang penduduk, Oeystein Gjerdrum, 68. – MalaysiaGazette