Tidak menjaga penjarakan sosial antara teramai dikenakan kompaun.

KUALA LUMPUR – Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara kesalahan tertinggi direkodkan dalam Operasi Pematuhan Pasukan Khas, semalam.

Ia melibatkan 149 kes daripada 301 individu yang ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP, diikuti 77 kes tidak memakai pelitup muka dan 63 kes gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada 301 yang ditahan, 298 telah dikenakan kompaun, manakala tiga individu lagi direman.

Katanya, semalam juga Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah membuat sebanyak 46,102 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Ismail Sabri Yaakob

“Sebanyak 2,506 Pasukan Pematuhan melibatkan 11,811 anggota telah membuat pemantauan di 2,799 pasar raya, 4,447 restoran serta 1,651 penjaja, 1,122 kilang, 3,176 bank dan 589 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau sebanyak 1,044 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 125 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Berhubung Operasi Bentang kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dua tekong telah ditahan kerana memasuki negara ini secara haram serta tanpa dokumen sah.

Jelas beliau, pasukan keselamatan juga merampas enam unit kenderaan darat dipercayai digunakan untuk menyeludup Pati terbabit.

“Kawalan sempadan negara diperketatkan daripada dibolosi Pati sebagai usaha kerajaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Saya berulang kali menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

Mengenai operasi ditapak binaan, beliau menjelaskan, sejak 20 April hingga semalam, sebanyak 14,114 pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan 8,029 tapak binaan di seluruh negara, termasuk 12 tapak binaan semalam.

“Hasil pemeriksaan, kita dapati semua 12 tapak binaan ini mematuhi SOP ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette