KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarahkan untuk menyediakan laporan berkenaan kejadian seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab yang videonya tular di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, JAKIM juga sudah diarahkan untuk membawa kes itu kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.
Tegas beliau, sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah.
“Agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) diminta untuk melipatgandakan usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau. – MalaysiaGazette
















