PTPTN berterima kasih kepada kerajaan Sarawak prihatin bantu anak negeri bayar baki pinjaman.

KUALA LUMPUR – Tempoh bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan tiga bulan lagi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, penangguhan itu diberikan kepada peminjam yang layak setelah menyedari terdapat dalam kalangan mereka masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Katanya, peminjam dalam kategori itu boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari ini hingga 31 Mac depan.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.

“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini memberitahu, sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember lepas kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.

Sebarang pertanyaan lanjut katanya, boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

Beliau turut berharap agar pengumuman tersebut dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN. – MalaysiaGazette