Sebuah restoran yang menggunakan dekorasi gambar semasa era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premis kedainya.
PENULIS rasa cukup kecewa dengan gelagat segelintir rakyat negara ini yang masih cuba mengagung-agungkan perjuangan komunis sama ada para pemimpin mahupun ideologi mereka.
Ini jelas satu perbuatan umpama menegakkan benang yang basah ataupun sudah terang lagi bersuluh kerana semua sedia maklum betapa zalimnya komunis terhadap penduduk Tanah Melayu sebelum ini.
Jadi kita kesal dengan laporan terdapat sebuah restoran yang menghias dua premisnya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.
Walau apapun alasan mereka termasuk kononnya untuk tujuan dekorasi, ianya langsung tidak masuk akal.
Banyak lagi cara untuk mencantikkan premis perniagaan. Kita tidak halang hasrat untuk mempromosi kebudayaan orang Cina namun bukan dengan menonjolkan pemimpin mahupun ideologi komunis yang merupakan musuh negara ini.
Sebelum ini juga pernah kecoh dengan isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dilaporkan secara diam-diam dibawa pulang ke Malaysia dan ditaburkan di beberapa tempat di Perak.
Tindak tanduk seperti ini membuatkan kita tertanya-tanya apa tujuan dan niat mereka sebenarnya? Kenapa begitu sukar untuk memahami kenyataan bahawa komunis telah bertindak dengan
cukup kejam dan tidak boleh dilupakan atau dimaafkan begitu saja.
Bayangkan apa perasaan ahli keluarga mangsa kezaliman komunis serta bekas tentera yang menggadai jiwa dan raga menentang kezaliman komunis.
Justeru, janganlah terus mengguris hati dan perasaan rakyat kita dengan perbuatan seperti ini. Jangan juga ada sebarang usaha untuk mempromosi atau menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini.
Rakyat Malaysia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku di negara ini.
Oleh itu, kita berharap pihak kerajaan akan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya kepada semua individu yang cuba untuk mengagung-agungkan pemimpin mahupun ideologi komunis dalam apa jua cara sekalipun di negara ini.
Biar ianya menjadi peringatan dan pengajaran kepada semua agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.
Dalam hal ini Pihak Berkuasa tempatan (PBT) misalnya perlu sentiasa memantau dan menguatkuasakan undang-undang agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi.
Tidak keterlaluan untuk dicadangkan, batalkan saja lesen
perniagaan jika benar terbukti ada usur untuk mempromosi ideologi komunis.
Hakikatnya, sebagai rakyat Malaysia, tidak kira bangsa apa sekali pun kita perlu baca dan memahami sejarah penjajahan dan kezaliman para penjajah serta gerakan kiri seperti komunis yang melakukan pelbagai kerosakan, kemusnahan dan kezaliman
terhadap negara dan rakyat pada suatu ketika dahulu.
Jangan sesekali lupa kita pernah dijajah lebih dari 400 tahun dan sudah tentu ianya meninggalkan parut yang cukup terkesan sehingga kini.
Jadi, cukup-cukuplah dengan apa yang telah berlaku,
kita tidak mahu luka lama kembali berdarah. Komunis tetap musuh negara!- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast