Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supritendan Azman Shari’at menunjukkan statistik kemalangan pada sidang media berkaitan dengan kemalangan yang direkodkan sepanjang tahun 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AFIQ HAMBALI, 6 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Sebanyak 74 kemalangan yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor akibat kerosakan jalan manakala 36 daripadanya melibatkan kemalangan maut pada tahun lepas.

Manakala tahun 2019, sebanyak 55 kes daripada 77 adalah kemalangan maut,dan 72 kes pada tahun 2018.

Bagaimanapun menurut Ketua JSPT negeri itu, Superintendan Azman Shari’at, kecuaian pengguna jalan raya menjadi faktor penyumbang berlaku kemalangan.

“Saya nyatakan di sini kemalangan yang berpunca daripada faktor fizikal jalan bukan semata-mata faktor jalan tapi juga ada kecuaian yang dilakukan oleh pemandu dan penunggang, tidak boleh menyalahkan sepenuhnya atas faktor fizikal misalnya kawasan-kawasan pembinaan telah diletakkan petanda jalan untuk had laju yang ditetapkan, perlahankan kenderaan.

“Jadi, saya menyeru pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa memandu terutama di waktu malam terutama kawasan jalan rosak, katanya ketika sidang media di IPK Selangor hari ini.

Terdahulu Azman memaklumkan sebanyak 123,244 jumlah kemalangan yang direkodkan berlaku di Selangor pada 2020.

Petaling Jaya menjadi daerah yang menyumbang jumlah tertinggi iaitu 18,494 kes kemalangan.

Mengulas lanjut Azman berkata, kemalangan banyak berlaku di kawasan jalan bandar dan dalam pada itu beliau memberi amaran kepada penunggang motosikal khususnya yang dilihat sering melanggar melanggar lampu isyarat merah.

“Terdapat beberapa kes penunggang motosikal yang melanggar lampu merah yang terlibat dengan kemalangan sehingga maut,” tambah beliau.-MalaysiaGazette