Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – ”Siapa kamu untuk perlekehkan dan menghina suara akar umbi parti UMNO seluruh negara?,” soal Datuk Seri Najib Razak kepada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Tegas Najib, jika tiada akar umbi UMNO, mereka yang melompat pun tidak akan berjaya menjadi wakil-wakil rakyat untuk dikutip oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Bekas perdana menteri itu mengulas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang berkata UMNO ada banyak kelompok, tetapi satu kelompok paling ketara adalah kelompok terkait kes mahkamah yang banyak memainkan peranan mendesak.

Jadi ini sebenarnya perkara terselindung di sebalik kebangkitan suara akar umbi menolak Bersatu.

Kata Wan Fayhsal, sebilangan pemimpin UMNO terkait kes mahkamah, termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebenarnya menggunakan suara kebangkitan akar umbi UMNO menolak Bersatu hanya demi memenuhi agenda peribadi mereka sahaja.

Dalam kenyataanya kepada Sinar Harian, Wan Fayhsal mendakwa, mereka menggunakan Bersatu sebagai kambing hitam bagi menjadikan alasan mempercepatkan pilihan raya, sedangkan jalan perundingan masih terbentang luas.

“Mereka menggunakan Bersatu sebagai alasan mempercepatkan pilihan raya, sedangkan sebenarnya boleh sahaja segala isu kerusi (pilihan raya) dan perbezaan yang menjadi pertikaian mereka dirunding,” katanya.

Pada Selasa lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid dalam satu pertemuan tertutup bersama ketua-ketua bahagian UMNO seluruh negara dikatakan mengarahkan ahli-ahli Parlimen parti menarik sokongan daripada kerajaan PN dalam masa terdekat bagi membolehkan perlaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dipercepatkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الْأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا

    Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Talaq 12)

    Masing masing perlu sedar dengan konflik politik hari ini. Apabila manusia berebut rebut untuk berkuasa, lantas Allah SWT menurunkan hujan dan banjir agar kita berfikir siapa yang lebih berkuasa.

    Tiada kerajaan yang mampu untuk menahan hujan. Tiada kerajaan yang mampu menghalang banjir. Tiada kerajaan yang mampu ‘bermuafakat’ dengan Tuhan untuk memperbaiki cuaca.

Comments are closed.