PETALING JAYA – Gara-gara cuba melarikan diri daripada ditahan dalam sekatan jalan raya sehingga melanggar kaki salah seorang polis trafik akhirnya memakan diri.

Penunggang motosikal itu yang memiliki lebih 50 saman trafik akhirnya ditahan dan disaman atas kesalahan cuba lari dari sekatan jalan, kata ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau juga memaklumkan pihaknya menyedari satu video memaparkan seorang anggota trafik menumbuk seorang penunggang motosikal di tepi Lebuhraya Persekutuan viral dalam media sosial sekitar jam 10 pagi hari ini.

“Siasatan awal mendapati pada hari sama, antara jam 8 hingga 9 pagi polis trafik melaksanakan operasi sekatan jalan raya di lorong motosikal di lebuhraya sama di Kilometer 28.3 menghala ke Kuala Lumpur dengan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota trafik dari Petaling Jaya.

“Ketika itulah sebuah motosikal dinaiki suami isteri warga tempatan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

“Semasa melarikan diri penunggang motosikal itu melanggar kaki salah seorang anggota trafik yang bertugas sebelum berjaya ditahan anggota lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Nik Ezanee, penunggang motosikal itu kemudian dikenakan saman atas kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen menunggang motosikal dan cukai jalan tamat tempoh.

Justeru katanya, semakan rekod lampau mendapati penunggang tersebut mempunyai 58 saman di atas pelbagai kesalahan trafik yang masih tertunggak dan belum dijelaskan.

“Setakat ini penunggang motosikal tersebut masih belum tampil membuat laporan polis berkenaan insiden yang diviralkan itu.

“Polis bagaimanapun berjaya mengenalpasti penunggang tersebut dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan (video tumbuk penunggang viral).

“Namun begitu kertas inkuiri polis telah pun dibuka dan siasatan ke atas anggota yang terlibat sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Tegas Nik Ezanee, pendiriannya tegas dan konsisten yang mana apa jua kesalahan salahlaku pegawai dan anggota akan disiasat teliti dan tindakan akan diambil dari sudut undang-undang dan juga tatatertib sekiranya didpati wujud kesalahan.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penunggang motor memang kurang ajar kalau di atas jalan raya tu samseng elok juga kena tampar sayang kalau kena fling kick baru padan muka.

Comments are closed.