Joe Biden. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump memaklumkan beliau tidak akan menghadiri majlis pelantikan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu pada 20 Januari ini.

“Kepada semua orang yang bertanya, saya tidak akan menghadiri pelantikan pada 20 Januari,” kata Trump menerusi Twitter.

Biden pula menyambut baik berita itu, dengan menyebut ketiadaan Trump sebagai “perkara baik”.

Trump kini menghadapi tuntutan supaya keluar dari White House selepas lima orang terbunuh ketika melakukan protes menyerang Kongres.

Trump tidak sesuai untuk berkhidmat di White, kata Biden yang gembira dengan kehadiran Naib Presiden, Mike Pence pada majlis pelantikannya nanti.

Protes yang dilakukan oleh penyokong Trump di US Capitol itu turut mengorbankan seorang pegawai polis, Brian Sicknick selepas cedera parah.

Keganasan pada hari Rabu lalu terjadi beberapa jam setelah Trump mendorong para penyokongnya untuk menentang keputusan pilihan raya ketika Kongres mengesahkan kemenangan Biden dalam pilihan raya yang diadakan pada November lalu.

Ketidakhadiran Trump pada majlis itu nanti adalah luar biasa namun ia pernah berlaku.

Presiden AS yang pernah melakukan tindakan serupa ialah Andrew Johnson, pada tahun 1869.

Trump sebelum ini mengakui kekalahannya dalam pilihan raya 3 November dan berjanji peralihan kuasa berlaku secara aman.

Namun, Trump mengulangi tuntutan tidak berasas mengenai penipuan pengundi semasa pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast