Jurutera maut digilis lori dalam kejadian kelbarian di Sungai Buloh menghala ke Kuang, Selangor.-Ihsan JSPT Selangor.

KUALA LUMPUR – Malang tak berbau!

Seorang jurutera elektrik apabila maut digilis sebuah lori membawa muatan tanah selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lorong Melati, Kuang, Sungai Buloh menghala ke Kuang sekitar jam 1.13 tengahari Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, semasa kejadian tragis itu, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa berusia 26 tahun yang berasal dari Alor Gajah, Melaka dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah lori yang mengalami kegagalan brek.

“Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dan terperosok di bahagian bawah tayar hadapan kiri lori. Lebih menyedihkan mangsa turut diseret kira-kira empat meter dan dalam masa sama, lori berkenaan turut melanggar belakang sebuah kereta Perodua Kancil yang berada di hadapannya.

“Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit menggelungsur ke hadapan dan merempuh belakang sebuah lori yang kemudian melanggar belakang sebuah kereta Perodua Kenari seterusnya belakang sebuah Toyota Vios,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenderaan kancil yang remuk teruk akibat kemalangan maut membabitkan enam kenderaan di Kuang, Selangor Jumaat lalu.-Ihsan JSPT Selangor

Tambah Azman, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

Justeru katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.

“Sebuah kren juga terpaksa digunakan untuk membantu dalam operasi itu dan lokasi kemalangan adalah laluan lurus dua hala menuruni bukit yang sesak dengan kenderaan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis sementara itu memohon mana-mana orang awam atau saksi kemalangan berkenaan supaya tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-226 4650 atau mana-mana balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.