Mohd Redzuan Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM157 juta telah disalurkan kepada usahawan belia bumiputera melalui Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) sejak dilancarkan pada 2014, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Md Silmi Abd Rahman.

Beliau berkata sebanyak 183 usahawan telah menerima manfaat di bawah program itu termasuk 25 pemenang pada Majlis Apresiasi Pemenang SUPERB 2020 yang disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas ) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, semalam.

Kesemua 25 penerima berkenaan dipilih daripada 1,149 peserta melalui pertandingan SUPERB 2020 yang berasaskan pembentangan perniagaan atau ‘business pitching’ sejak dimulakan Ogos tahun lepas.

“Para pemenang yang dipilih tahun ini telah membentangkan idea perniagaan yang cukup berinovasi dan tuntas dari segi digitalisasi dan penggunaan teknologi, kompetitif serta mampu berkembang maju selari norma baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Redzuan menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian peserta yang menampilkan idea kreatif dan berinovasi dengan tawaran perniagaan di luar kotak selain mengaplikasikan kecanggihan teknologi dalam membangunkan perniagaan.

“Ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan keadaan semasa yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi gig di seluruh dunia. Malaysia antara negara pengguna terbesar Internet di rantau Asia perlu meraih peluang dalam melahirkan lebih banyak usahawan, perniagaan , peluang pekerjaan dan perniagaan berasaskan ekonomi gig ,” katanya.- BERNAMA