Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada bulan November 2020 berjumlah RM119.9 bilion bertumbuh sebanyak 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan November 2020 dipacu oleh Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (10.5%), Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (5.3%) dan Produk Makanan, Minuman & Tembakau (5.1%).

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan November 2020 adalah seramai 2,195,488 orang, berkurangan 2.2 peratus berbanding 2,245,373 orang pada November 2019.

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji & upah yang dibayar berjumlah RM7,190.3 juta, merosot 1.3 peratus atau RM91.8 juta pada November 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 4.5 peratus kepada RM54,599 berbanding bulan yang sama tahun 2019.

Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,275 pada bulan November 2020. – MalaysiaGazette