Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah sepanjang tempoh Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong yang berkuatkuasa tengah malam ini hingga 1 Ogos ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukuman dan keadilan sepanjang tempoh itu.

Beliau juga meminta rakyat kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan dipimpinnya yang kini berusaha keras membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Saya beri jaminan sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi dengan adil dalam menegakkan hukuman dan keadilan.

“Saya juga akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah,” katanya dalam Pengumuman Darurat, hari ini.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin mengajak semua ahli politik agar mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersoladiriti bersama rakyat ketika negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar.

Katanya, apabila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu menghadapi situasi yang amat sukar ini.

“Yang penting, matlamat kita hanyalah satu iaitu kita mesti menang dalam memerangi Covid-19. Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh PKP dan darurat yang berkuatkuasa ini.

“Mudah-mudahan kita dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes positif saban hari,” katanya.

Beliau berharap agar alim ulamak dan pemimpin agama turut memainkan peranan mendoakan kesejahteraan negara agar dilindungi daripada sebarang bala bencana.

“Bagi pihak kerajaan, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Saya berdoa semoga Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Putera dan Puteri Tuanku, seluruh kerabat duli Tuanku dan sekalian rakyat jelata terus dilindungi oleh Allah SWT.

“Mudah-mudahan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita segera berakhir,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. alim ulamak dan pemimpin agama turut memainkan peranan mendoakan kesejahteraan negara agar dilindungi daripada sebarang bala bencana…..maka mohon cadangan bilangan JEMAAH MASJID solat waktu ditambah hingga 20 org dan 40 org utk solat JUMAAT secara giliran dalam KARIAH…utk usaha berMunajat pada ALLAH ….mudah-mudahan termakbul

Comments are closed.