PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya akan melaksanakan penutupan jalan dan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan itu dikuatkuasakan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Januari 2021.
Katanya, sebanyak tujuh jalan dan laluan akan terlibats sepanjang 14 hari itu, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tujuh laluan serta jalan yang akan dilaksanakan penutupan dan sekatan jalan adalah Jalan 4/56, Gasing Indah, Jalan Persiaran Mahogani, Jalan Persiaran Jati dan Jalan Persiaran Sungai Buloh di Kota Damansara; Lampu Isyarat PJU 8/1 Damansara Perdana, Lebuhraya Damansara Puchong susur keluar Mutiara Damansara/Damansara Perdana dan Laluan Masuk Tol Damansara ke Bayu Putri berdekatan Tropicana Pejabat PKR, Damansara.
Justeru Nik Ezanee menyeru orang ramai supaya terus berada di rumah serta mematuhi PKP agar jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.
“Polis PJ juga berharap pengguna jalan raya khususnya masyarakat di daerah ini agar sabar dan tabah dalam menangani wabak Covid-19 ini,” tegas beliau.-MalaysiaGazette