Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto AFIQ HAMBALI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menegaskan pelaksanaan Proklamasi Darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menepati Perlembagaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula sudah cukup memadai untuk mengekang penularan Covid-19.

“Ini adalah krisis kesihatan awam, bukan ancaman kepada keamanan atau keselamatan nasional. Terjejas ekonomi negara hanya memerlukan pembaikan dalam pengelolaan dan pengurusan yang telus dan berintegriti, bukan darurat.

“Dalam soal Covid-19, apa yang perlu dilakukan ialah memperkukuhkan kapasiti sistem kesihatan dan memastikan semua langkah pencegahan dipertingkatkan,” tegas MAPIM dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata Proklamasi Darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan suatu bentuk rampasan kuasa tentera atau penguatkuasaan perintah berkurung.

Malah, daripada segi pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Mohd Azmi lagi, pengisytiharan darurat mempunyai kesan negatif kepada pelaburan dan kelancaran ekonomi negara.

“Pemulihan ekonomi akan terhalang dan keupayaan untuk membantu pengusha kecil dan sederhana akan menjadi sangat sukar.

“Walaupun Perdana Menteri menjamin pengurusan negara berjalan seperti biasa, namun rakyat tidak lagi yakin kerajaan yang sedia ada mampu menyelesaikan masalah.

“Para usahawan sangat resah dengan cara kerajaan membuat keputusan sehingga banyak yang gulung tikar akibat keputusan yang tidak bijak untuk memungkinkan perniagaan bertahan,” kata badan itu lagi.

Sementara itu, MAPIM berkata kesan daripada darurat boleh merencatkan perjalanan demokrasi.

Malah pelaksanaannya telah menghapuskan institusi semak dan imbang yang sangat perlu dalam sebuah sistem kerajaan demokratik.

“Apabila PM mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja di luar undang-undang, negara ini akan bergerak kepada pemerintahan diktator.

“Kami berpendapat PKP bersasar cukup untuk mengekang pandemik sementara vaksin Covid-19 dijangka akan dapat mengurangkan kes jangkitan.

“Sewajarnya menangani Covid-19 seperti di negara lain iaitu memastikan PKP yang berkesan, dilaksanakan, bukan memilih mengumumkan darurat,” katanya lagi.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak rasional serta alasan yang diberikan Muhyiddin kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Dah tua tua nie janganlah jadi barua orang. Malu kat diri sendiri…

    Market naik laa… Hang kata menjunam… Bodoh tahap kambing

  2. Betul tu…dan yg peliknya PM tak bagitau pula apa rasional darurat sehingga Ogos? kenapa tak Julai kah? atau Jun? Atau September kah??

  3. This words coming out from Cikgu Azmi, a bit ackward. Beliau banyak pglaman tp mcm tutup mata. Banyak negara yang umum darurat semula, bukan Malaysia shj.
    Mmg darurat umum hingga Ogos sebab nak elak PRU pun. Cuma bukan kerana gila kuasa sperti pemimpin parti pompang2 yg songlap duit nak lari mahkamah. Tp kerana tak guna buat PKP setahun jika PTU sehari akibatnya mcm PRN Sabah dulu. Terus jd gelombang ke 4 lulak nti. Satu negara kena wabak. Rssional la sama kita sebg rakyat. Rakyat jaga rakyat la sama.

  4. Buat lah apa korang nk..kita orang ok je selagi ada benda yg boleh di makan..tapi klau dah habis sumber makanan fham2 je lah.

  5. Xfaham tu bertanya..jgn main Kuar kenyataan je..da tua pun…bukan budak2 lg..darurat ni utk tutup puaka2 politik yg xhabis2 nk berpolitik Mase rakyat susah…pkp je xdapat nk tutup mulut org2 politik…PM cadang kan..tetapi agong mesti da fikir masak2 baru di buat darurat ni..bukan main bedal je mcm MPM ni..

Comments are closed.