Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 menafikan dakwaan dua portal yang mendakwa Datuk Noor Azmi Ghazali telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KUALA LUMPUR – Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 menafikan dakwaan dua portal yang mendakwa Datuk Noor Azmi Ghazali telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Satu kenyataan dari pejabatnya malam ini memaklum penularan gambar Noor Azmi beramai-ramai di dalam pejabatnya itu berlaku sehari sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa hari ini.

“Dua portal iaitu MalaysiaPost.Com dan Malaysiakini telah memuat naik artikel tidak benar berkaitan Timbalan Menteri Kesihatan 1.

“MalaysiaPost dengan artikel bertajuk “Timbalan Menteri Kesihatan Langgar PKP lagi?” pada 13 Januari 2021. Malaysiakini pula dengan artikel bertajuk “Timbalan menteri kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP” pada jam 10.42 malam, 13 Januari 2021.

“Kedua-dua artikel dari portal itu mendakwa Timbalan Menteri
Kesihatan 1 menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya dan mendakwa telah melanggar PKP yang dilaksanakan pada 13 Januari 2021 iaitu hari ini.

“Tulisan dan dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua portal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Gambar kunjungan tersebut adalah pada 12 Januari 2021 iaitu sehari sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP diadakan,” kata kenyataan yang sama.

Oleh itu pihak Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 memohon agar portal terbabit menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar yang disiarkan dalam portal terbabit dengan segera.

“Dakwaan yang tidak benar sebegitu boleh memberikan persepsi buruk masyarakat terhadap Timbalan Menteri 1 dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata kenyataan yang sama.

Sebelum itu, Noor Azmi telah dikenakan kompaun pada PKP pertama dahulu kerana didapati melanggar SOP di Perak.- MalaysiaGazette