PETALING JAYA – Polis sedang mengesan seorang individu bergelar Datuk dan juga rakannya yang disyaki menampar dan memukul pasangan pelanggan muda di sebuah restoran setelah ditegur membuat bising dalam premis itu.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Tropicana Avenue pada 12 Januari lalu dan video insiden itu tular di media sosial menerima pelbagai reaksi awam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis telah menggiatkan usaha mengesan suspek tersebut.

“Mangsa berusia 31 tahun bekerja sebagai pengurus. Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek membuat bising dalam restoran, mangsa menegur suspek supaya tidak membuat bising.

“Namun suspek difahamkan naik berang dan tidak berpuas hati dengan teguran itu dan menyerang mangsa,” katanya pagi ini ketika ditanya sama ada suspek sudah dikesan dan ditangkap polis.

Tegas beliau, polis sedang mengesan suspek untuk tindakan siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, 503 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian sekitar 8.30 malam kelmarin, suspek memasuki restoran stimbot dalam keadaan mabuk, lalu dikatakan telah meninggikan suaranya sebelum ditegur pasangan muda itu supaya merendahkan suara.

Lalu suspek yang tidak berpuas hati didakwa terus memukul dan menampar pasangan itu sebelum meninggalkan restoran tersebut.

Video berdurasi 50 saat itu yang tular dalam media sosial menunjukkan suspek memegang muka pemuda dan memaki dalam Mandarin sebelum menampar dan memukul di bahu pelanggan muda itu.

Tidak berhenti setakat itu, rakan suspek turut memukul mangsa lelaki dan menampar teman wanita mangsa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast