khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Malaysia telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) serta negara-negara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania dengan memfailkan suatu
permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan undang-undang itu adalah susulan daripada langkah-langkah yang dikenakan oleh EU dan negara-negara anggota EU tersebut berkaitan pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable
Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).

“Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah termasuklah
mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin berkata, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia.

Menurut beliau, pelaksanaan EU RED II mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung atau Indirect Land Use Change (ILUC) yang tinggi.

Katanya, ia akan menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui (renewable energy target) dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak
wajar terhadap industri sawit negara.

“Tindakan EU ini juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO,” ujarnya.

Menurut Mohd Khairuddin, tindakan undang-undang yang diambil itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit Negara terhadap dasar yang
dilaksanakan EU tersebut.

Katanya, Malaysia berharap WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian (Dispute Settlement Body) dapat meneliti dan
memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO.

Tambah beliau, Malaysia akan memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses ini khususnya dalam sesi konsultasi kelak dan seterusnya perbincangan bersama Panel WTO
yang akan diadakan kelak.

Jelasnya, pada masa yang sama, Malaysia akan terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia melalui DSM di WTO.

Jelas beliau, penglibatan Malaysia adalah penting sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit.

Menurut Mohd Khairuddin, kerajaan Malaysia melalui KPPK akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. – MalaysiaGazette