Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,339 kes baharu positif dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 meningkat kepada 158,434 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 37,782 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat 15 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara adalah sebanyak 3,324 kes.

Bagi kes penularan di dalam negara, 2,292 kes adalah warganegara Malaysia atau 68.9 peratus manakala 1,032 kes adalah bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihata, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,314 kes atau 39.4 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 1,122 kes atau 85.4 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 393 kes atau 11.8 peratus dan Johor sebanyak 362 kes atau 10.8 peratus.

“Sebanyak 159 kes atau 4.8 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 94 kes, DTI Sepang 2 (53 kes), Kluster Tembok Gajah (6 kes), Kluster Telok Mas (3 kes), Kluster Tembok Kemus (2 kes) dan Kluster Tembok Mempaga sebanyak satu kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 240 kes positif Covid19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 93 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, terdapat pertambahan tujuh kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 601 kes atau 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 2,676 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 120,051 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette