Jorge Pereyra Diaz.

KUALA LUMPUR – Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto mengakui berminat dengan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz untuk membarisi pasukannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Kurniawan menegaskan, gaya permainan yang dimiliki oleh Diaz sesuai dengan corak permainan yang diterapkan oleh skuad kendaliannya itu.

“Permainannya cocok dengan corak permainan kami. Kami perlu adakan kesepakatan dengan secepat mungkin agar dia boleh datang dengan segera,” kata jurulatih dari Indonesia itu kepada Stadium Astro.

Kurniawan sekali lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan Sabah musim ini selepas membantu kelab itu mengelak daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana musim ini.

Bagi Diaz pula, dia beraksi di Mexico, Argentina dan Bolivia setelah meninggalkan skuad Harimau Selatan pada 2018 lalu.

Dia merupakan salah satu pemain import terbaik yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia apabila pernah membantu JDT memenangi beberapa kejuaraan domestik selama tiga musim beraksi bersama pasukan itu.

Pemain berusia 30 tahun itu pernah membantu JDT memenangi Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih pada 2014 dan Piala FA pada 2016 di mana pada perlawanan akhir, skuad Harimau Selatan menewaskan PKNS FC.

Selain itu, Dia juga pernah memenangi gelaran individu iaitu Penjaring Terbanyak Liga Super musim 2016 dengan catatan 18 gol, dua gol dihadapan rakan sepasukan ketika itu iaitu Juan Martin Lucero yang mencatat 16 jaringan. – MalaysiaGazette