KUALA LUMPUR – Pembukaan restoran cef selebriti terkenal British, Gordon Ramsay di Petaling Jaya pada Jun ini bakal menjadi tarikan pelancong.
Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, pihaknya berbesar hati apabila pemegang bintang Michelin itu memilih Selangor untuk membuka cawangan restorannya yang pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara.
“Bagi yang ingin menikmati masakan gaya hidangan fine dining, mereka boleh memilih untuk berkunjung ke restoran ini sebaik ia dibuka,” katanya hari ini.
Restoran itu diberi nama Gordon Ramsay Bar & Grill di Sunway Resort akan menawarkan pelbagai jenis hidangan antaranya Beef Wellington dan Sticky Toffee Pudding.
Pelanggan boleh membuat pratempahan bermula sekarang untuk menikmati hidangan cef dari British itu pada Jun ini.
Selain Malaysia, Ramsay mempunyai cawangan sama di Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Perancis, dan Emiriah Arab Bersatu. -MalaysiaGazette