KUALA LUMPUR – Pelawak Shuib Sepahtu menjelaskan namanya kini sudah bersih daripada sebarang isu yang pernah melanda dirinya.
Menurutnya, peguamnya memberitahu dirinya tidak terkait lagi dengan kes berkenaan.
“Sekarang ini saya dalam proses untuk meminta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) keluarkan surat yang menyatakan saya tidak ada kaitan. Kalau semua dah clear, saya akan buat satu sidang akhbar,” jelasnya.
Shuib berkata demikian ketika sesi sidang akhbar secara virtual bersama pihak media malam tadi.
Pada masa sama, beliau memberitahu peguamnya juga ada menyarankan supaya dia mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang telah melemparkan fitnah terhadap dirinya berhubung isu berkenaan.
Namun begitu, suami kepada penyanyi Siti Sarah itu enggan mengambil sebarang tindakan dan telah memaafkan mereka yang terlibat.
Bekas penyampai radio Hot FM itu mengakui perniagaan BubbleBee agak terkesan ketika dia dikaitan dengan isu Macau Scam serta dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan sebelum ini.
“Memang ada kesan… ada yang datang outlet maki, suruh tutup sebab Macau Scam, jualan pun menurun.
“Bagaimanapun, penjualan kemudian semakin meningkat semula sebab ada yang tunggu produk BubbleBee ini terutama sekali ketika outlet baharu dibuka,” jelasnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penutupan sementara outlet BubbleBee di Kuantan baru-baru ini, Shuib mengakui ia adalah kesilapan pihaknya.
“Sebenarnya ketika itu memang lesen belum diluluskan dan masih dalam proses. Kami ingat semuanya dah selesai sebab runner yang uruskan berkenaan lesen.
“Bagaimanapun, hari ini (semalam) lesen dan lulus dan outlet berkenaan sudah kembali beroperasi pada pukul 2 petang,” jelasnya.
Semalam, Shuib juga telah mengumumkan tidak akan lagi menjadi penyampai radio Hot FM kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaannya. – MalaysiaGazette