Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng menyifatkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion hanya dikitar semula daripada Belanjawan 2021 atau pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, tidak ada suntikan tunai baharu kepada ekonomi dan jauh lebih kecil dari pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion yang disarankan oleh pembangkang untuk mengatasi kemelesetan ekonomi semasa demi menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwanya tidak peduli atau diberi nasihat yang salah jika menjangkakan kesan PKP 2.0 tidak begitu merosakkan ekonomi, berbanding PKP 1.0 yang dilaksanakan pada 18 Mac 2020, dengan alasan perniagaan kini dibenarkan beroperasi.

Menurut bekas menteri kewangan itu, selepas PKP 1.0, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjunam sebanyak negatif 17.1% pada suku kedua 2020.

Sekiranya ekonomi menjunam sebanyak 2% pada suku pertama atau kedua untuk tahun ini, ia sudah tentu tidak baik untuk ekonomi Malaysia kerana secara relatif pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka kukuh.

”Pakej bantuan RM15 bilion PERMAI terlalu kecil dan jauh berbeza dari pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN bernilai RM305 bilion dengan suntikan fiskal RM45 bilion yang dilancarkan tahun lalu untuk mengurangkan kesan negatif PKP 1.0 kepada ekonomi negara.

”Walaupun dengan langkah-langkah tersebut, ekonomi masih merosot kepada kemelesetan dan mencatat kadar pengangguran tertinggi dalam beberapa dekad iaitu 4.8% pada bulan November 2020.

”Apa yang pakej bantuan bernilai RM15 bilion, dengan anggaran perbelanjaan langsung hanya RM3.87 bilion yang diubah atau dialihkan dari keutamaan perbelanjaan yang ada, boleh membantu ekonomi kita untuk pulih?,” soalnya.

Tambahnya, pendekatan “barang lama dalam bekas baharu” ini dapat dilihat oleh pengakuan Muhyiddin sendiri bahawa dana yang diperlukan bukanlah wang baharu, tetapi diagih semula dari dana sedia ada dalam Belanjawan 2021.

Oleh kerana tidak ada suntikan fiskal baru ke dalam ekonomi di bawah PERMAI, Guan Eng menjangkakan terdapat kesan signifikan yang kecil terhadap pertumbuhan ekonomi untuk mengeluarkan ekonomi negara daripada kemelesetan.

”Mengapa tidak ada pelepasan sewa atau subsidi untuk perniagaan yang menderita tanpa pendapatan? Bagaimanakah PERMAI oleh Muhyiddin ini dapat membantu melambatkan pemberhentian pekerja atau penutupan perniagaan dan menyelamatkan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia?,” tanya beliau lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pandai sgt la babies ni buat kira2..
    Semua salah Semua tak cukup..pandai cakap je buat apa..
    Dulu jd menteri semua ko sorok cuma x sempat nak ambil je sbb tu skrg kelam kabut..duit toke2 ko dah sebat..

Comments are closed.