Bekas Ketua Bahagian Sumber Manusia Puspakom Sdn. Bhd, Noor Marliza Ishak, 48 hadir ke mahkamah atas tuduhan memalsukan dokumen bernilai RM52,500 di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 JANUARI 2021.

SHAH ALAM – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen bernilai RM52,500, kira-kira lima tahun lalu.

Noor Marliza Ishak, 48, ketika kejadian itu memegang jawatan Ketua Bahagian Sumber Manusia Puspakom Sdn. Bhd. didakwa telah menggunakan kedudukannya memalsukan invois Kezens Gale bagi tujuan menipu.

Perbuatan itu bagaimanapun dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menahannya untuk siasatan.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pagi ini, beliau yang telah dipecat dari jabatan itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Beliau menghadapi dua pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan iaitu memalsukan dokumen berkenaan.

Noor Marliza didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pilihan pula, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 465 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Woi Keong kemudian menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ikat jamin dikurangkan kerana tidak lagi bekerja dan tidak mempunyai pendapatan untuk membayarnya.

Hakim Rihaida kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Januari ini. – MalaysiaGazette