Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. Foto Ihsan JBPM Putrajaya

KUALA LUMPUR Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima 124,596 panggilan kecemasan meliputi 71,588 atau 57,4 peratus kes penyelamatan pada tahun lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 38,865 panggilan atau 31.2 peratus melibatkan kebakaran dan 13,903 penggilan atau 11.2 peratus adalah tugas-tugas khas.

“Berbanding keseluruhan 117,065 kes kecemasan direkodkan pada tahun 2019, terdapat peningkatan sedikit sebanyak 6.4 peratus kes kecemasan yang diterima bomba bagi tahun 2020 dan purata panggilannya juga meningkat kepada 341 kes sehari berbanding 320 pada tahun sebelumnya dan Bomba Selangor menunjukkan perangkaan kecemasan yang tertinggi,” kata beliau dalam Perutusan Tahunan 2021 hari ini.

Katanya, taksiran harta yang berjaya diselamatkan akibat kebakaran bernilai sebanyak RM13 bilion bagi tahun tahun lalu, menurun sebanyak 72.9 peratus yang merekodkan RM48 billion pada 2019.

Menurut Mohammad Hamdan, penurunan drastik itu disebabkan bilangan panggilan kebakaran yang rendah diterima jabatan bomba semasa pandemik Covid-19.

“Perkembangan positif ini turut dicatatkan dalam pencapaian KPI Response Time di bawah 10 minit iaitu meningkat sebanyak 5.97 peratus daripada 53.12 peratus pada tahun 2019 kepada 59.0 peratus pada tahun 2020.

“Malah pencapaian National Average Response Time pada 11.59 minit, iaitu meningkat sebanyak 18 peratus tahun 2020 berbanding 14.14 minit pada tahun 2019,” ujarnya.

Mohammad Hamdan percaya peningkatan positif ini sejajar dengan pembangunan “Fire Cover” jabatan yang sentiasa dikaji dan ditambahbaik.

Selain itu, katanya ia turut disumbangkan oleh faktor pertambahan balai bomba baharu yang beroperasi pada tahun lalu selain strategi serta  ‘pra-perancangan’ yang berterusan.

Kata Mohammad Hamdan ia terbukti apabila angka kematian akibat kebakaran menurun sebanyak 2.5 peratus iaitu kepada 118 kematian pada tahun lalu berbanding 121 pada tahun 2019.

“Manakala, kematian disebabkan kelemasan di air turut menurun sebanyak 14.7 peratus iaitu 198 orang lemas pada tahun 2020, berbanding 232 orang pada tahun 2019 dan penurunan ini berkait rapat dengan usaha gigih Jabatan, bersama rakan strategik dalam melaksanakan program khidmat nasihat masyarakat, dan kesedaran awam.

“Tirai 2021 dibuka dengan kejadian banjir monson timur laut, di beberapa buah negeri terutama di pantai timur Semenanjung dan sehingga kini kejadian banjir masih belum reda di beberap akawasan.

“Tugas-tugas penyelamatan mangsa banjir sedikit sebanyak mencabar pada musim ini, kerana pada masa yang sama kita masih perlu mengamalkan SOP bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 tetapi saya optimis kami berupaya melaksanakan setiap operasi-operasi tersebut dengan cemerlang,” katanya. – MalaytsiaGazette