KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli sebanyak 9.97 juta lagi saham dalam FGV Holdings Bhd daripada pasaran terbuka pada harga RM12.96 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, FGV berkata saham itu dibeli semalam pada harga RM1.30 sesaham.

Langkah itu menjadikan saham-saham FGV yang dibeli oleh Felda setakat minggu ini berjumlah 75.97 juta saham.

Awal minggu ini, Felda telah membeli 66 juta saham menerusi pasaran terbuka pada harga RM1.30 sesaham dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM85.8 juta.

Pada minggu lepas, Felda mengumumkan menerusi dua kenyataan bahawa ia telah membeli sejumlah 27.15 juta saham FGV daripada pasaran terbuka pada harga RM1.29 sesaham atau RM35.02 juta.

Ini dilaksanakan selepas agensi itu mengeluarkan dokumen tawarannya pada Selasa minggu lepas (12 Jan) berkaitan dengan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk semua baki saham dalam FGV yang tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran RM1.30 sesaham akan dibuka untuk penerimaan sehingga pukul 5 petang pada 2 Feb, 2021 kecuali dilanjutkan atau disemak semula.

Pada 8 Dis, 2020, Felda yang memiliki 21.24 peratus kepentingan ekuiti dalam FGV, telah meningkatkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada 35.12 peratus dan bercadang untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian pada RM1.30 sesaham.

Tambahan 13.88 peratus kepentingan pula telah dibeli daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (6.1 peratus) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (7.78 peratus).

Dalam pada itu, saham FGV tidak berubah pada RM1.30 tengah hari Jumaat dengan sebanyak 5.97 juta diniagakan. – MalaysiaGazette