Mohammad Hamdan Wahid

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan mengoptimumkan keupayaan dan peranannya dalam sektor kebombaan dan keselamatan dengan hala tuju dan penekanan ditumpukan kepada enam fokus pada tahun ini.

Enam fokus itu adalah Melaksanakan Strategi di bawah Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN), Membangunkan infra, fasiliti, sistem kebombaan dan pemodenan sistem penyampaian dan Meningkatkan tahap kompitensi dan warga sumber manusia jabatan.

Menambahbaik peruntukan undang-undang keselamatan kebakaran dan pemantapan penguatkuasaan, Merakyatkan khidmat bomba dan Mempergiatkan program komuniti, libaturus dan kerjasama pelbagai agensi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, fokus pertama DKPN digubal bagi tujuan meningkatkan tahap perlindungan dan kesedaran awam terhadap keselamatan, kebakaran dan pengurusan kecemasan.

Katanya, dasar berkenaan menggariskan empat teras utama iaitu persekitaran yang selamat, amalan dan pembudayaan keselamatan, kerjasama strategik yang inklusif dan pemantapan kapasiti dan keupayaan Jabatan.

“Sebanyak 47 strategi telah dikenalpasti untuk merialisasikan teras berkenaan dan tindakan seterusnya yang perlu diambil selepas ini adalah menyediakan pelan tindakan dan program-program berkaitan serta sesi libat urus yang perlu dibuat dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Dalam fokus kedua, sebanyak RM169 juta telah diluluskan di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) untuk tahun 2021, bagi pelaksanaan projek-projek sambungan RMKe-11 serta lapan lapan projek baharu melibatkan empat buah balai bomba, dua dua kuarters, satu Ibu Pejabat Negeri dan satu satu Pangkalan Udara.

“Unit Perancang Ekonomi (EPU) turut meluluskan cadangan pembinaan Pangkalan Udara Subang, di bawah Rancangan Malaysia ke 12, yang dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun 2021 dan dijangka beroperasi pada tahun 2024,” katanya dalam ucapan perutusan tahunan 2021 hari ini.

Tambah beliau, pada masa ini jabatan bomba memiliki sembilan buah helikopter dan 27 juruterbang bagi melaksanakan tugas-tugas penyelamatan udara, seperti bodevac, medevac, casevac, water bombing, SAR, penghantaran organ transplan dan pengurusan bencana alam.

Kata Mohammad Hamdan, pihaknya juga sedang berusaha untuk memohon Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mewujudkan FOB Selatan di Johor agar tugas-tugas pengoperasi udara dapat dimantapkan lagi pada masa hadapan.

Mohammad Hamdan memberitahu, JBPM akan menerima 100 buah pikap Mitsubishi Triton bagi menggantikan kenderaan utiliti sedia ada yang tidak ekonomik untuk diperbaiki, disamping perolehan 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT), enam unit Fire Rescue Boat (FRB), serta perolehan lima unit Jentera Khas dan satu (1) Sistem Kebombaan C4i – Command, Control, Communication, Computer & Intelligent.

Selain itu, ujarnya, pihaknya juga akan menerima enam unit dron daripada Program Kolaborasi Perindustrian (ICP) pesawat AW 189 untuk mempertingkatkan lagi tugas-tugas pengoperasian kecemasan.

“Jabatan telah menguatkuasakan ujian ke atas pam menentang kebakaran mengikut MS2616:2015, serta dalam proses untuk mendapatkan pentauliah makmal kebakaran melalui pensijilan MS ISO 17025:2017, dari Jabatan Standard Malaysia. Sebanyak 24 ujian ketahanan api bahan binaan di Fire Testing Furnace, telah dilaksanakan dengan jumlah pulangan kepada Kerajaan sebanyak RM92,440.00 melalui kerjasama dengan SIRIM.

“Usaha turut dibuat bagi memastikan Makmal Penyiasatan Kebakaran mendapat akreditasi, dan pengiktirafan, dari segi sistem pengurusan dan kualiti keputusan yang dihasilkan

“Kecemerlangan perkhidmatan kebombaan turut didokong oleh kesiapsiagaan jentera, dan peralatan kebombaan berenjin dan sebanyak RM31 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan 17,112 kerja-kerja penyelenggaraan, melibatkan servis, pembaikan dan breakdown,” ujarnys.

Untuk tahun lalu, Mohammad Hamdan berkata, sebanyak RM54 juta telah dibelanjakan bagi pembinaan Ibu Pejabat Bomba Negeri dan balai bomba, kerja-kerja menaik taraf balai bomba dan kuarters, pembelian bangunan balai bomba serta perolehan tapak tanah, dan jentera /aset jabatan, manakala, sejumlah 51 kuarters jabatan, beserta fasiliti di dalamnya juga telah berjaya diselenggara. – Malaysiagazette