Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 5 Februari depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah bagi mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor.

“Sehingga 21 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 360 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 177 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan PKPD itu diputuskan melalui sidang khas dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berlangsung hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan seramai 660 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan daripada jumlah itu 621 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakkan fizikal (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98), ujarnya. – MalaysiaGazette