KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan 1,266,862 ujian saringan Covid-19 menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) setakat semalam.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mula menggunakan kaedah ujian RTK-Ag bermula Mei 2020 dan ketika itu kit ujian tersebut belum disyorkan lagi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya, penggunaan ujian RTK-Ag semakin meningkat di seluruh negara dan di Sabah sahaja hampir mencecah 100,000 sebulan.
“Pengguna kit RTK-Ag ini dicadangkan apabila sistem kesihatan negara mula terbeban dengan peningkatan kes baharu setiap hari.
“Ketepatan kit ujian mestilah melebihi tahap 80 peratus dan pengkhususannya melebihi 97 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Noor Hisham mengulas mengenai syor beberapa pihak berhubung penggunaan RTK-Ag bagi ujian pengesanan Covid-19.
Dalam pada itu Noor Hisham berkata, kit ujian tersebut turut digunakan apabila tempoh masa bagi memperoleh hasil ujian untuk RT PCR melebihi 48 hingga 72 jam atau jika ujian RT-PCR tidak tersedia.
Bagaimanapun jelasnya, penggunaan RTK-Ag bagi tujuan saringan Covid-19 perlu dilakukan pengendali yang terlatih.
“Bagi memperoleh hasil saringan terbaik, ujian perlu dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari pertama selepas wujudnya gejala.
“Kit ujian RTK-Ag ini digunakan apabila tempoh masa bagi memperoleh hasil ujian bagi RT PCR melebihi 48 hingga 72 jam atau jika ujian RT-PCR tidak tersedia.
“Lebih spesifik untuk (disaring kepada) kluster baharu yang kadar positifnya tinggi dan apabila kajian seiring menunjukkan PPV (nilai ramalan positif) adalah tinggi,” tambahnya. – MalaysiaGazette