KUALA LUMPUR – Guru dibenarkan menggunakan pelbagai inisiatif bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) dan ia bukan melalui gajet semata-mata.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, kerajaan menyedari bukan setiap keluarga mempunyai kemampuan memenuhi keperluan PdPR khususnya berkaitan dengan capaian internet dan kesediaan peranti.
Justeru guru menurut Habibah dibenarkan menggunakan inisiatif yang pelbagai dalam memastikan proses pengajaran sampai kepada setiap pelajar.
“Banyak pengajaran yang kita peroleh daripada pengalaman tahun lepas antaranya jurang yang wujud dalam kalangan murid kita berdasarkan capaian dan peranti disebabkan itu kita masih ada jurang seperti itu pada tahn ini walaupun kementerian berusaha boleh rapatkan jurang tersebut tapi mungkin prosesnya tidak secepat yang mungkin.
“Oleh itu kita menyarankan pihak sekolah dan guru-guru kita untuk menggunakan kaedah lain selain dalam talian atau kaedah hibrid supaya murid tidak ketinggalan atau kita cuma membolehkan murid yang ada kemudahan untuk menyertai pembelajaran.
“Mungkin guru boleh membekalkan sama ada modul atau lembaran aktiviti bagi membolehkan murid lain mengikuti pembelajaran. Saya rasa guru kita amat kreatif dan ramai yang komited ramai,” katanya katanya ketika sidang media secara atas talian hari ini.
Selain itu, menurut Habibah, TV Pendidikan juga telah mula mengembangkan pelaksanaannya sejak tahun lalu menerusi beberapa stesen televisyen lain sebagai keprihatinan kerajaan terhadap pelajar yang tidak mempunyai capaian internet dan peranti untuk PdPR.
“Kita tidak ada membuat siaran TV Pendidikan sebelum ini kerana kita telah bergerak web based tapi sebab tahun lepas kekangan yang berlaku, kita kembalikan TV Pendidikan dan kita telah memulakan TV Okey dan Astro Tutor selama enam jam. Kemudian kita tambah dengan NTV 7 dan total sesi tv pendidikannya selama sembilan jam.
“Kita sedang merancang bekerjasama lagi dengan pihak lain supaya kita boleh tambah dari segi waktu untuk mengadakan siaran TV Pendidikan kerana ia satu pendekatan di mana proses pembelajaran sampai sebab lebih 90 peratus isi rumah mempunyai televisyen,” katanya lagi.
Selain itu, demi menjayakan proses PdPR, ibu bapa dan guru perlu saling bekerjasama agar tiada murid yang keciciran dalam pembelajaran.
Habibah berkata, dalam tempoh penularan Covid-19, ibu bapa memainkan peranan penting kerana bukan hanya memantau malah membantu anak-anak khususnya yang baharu menjejaki dunia persekolahan yang dilaksanakan secara norma baharu.
Guru pula katanya, bertindak sebagai memudahcara, memastikan murid tidak ketinggalan dalam setiap modul pengajaran.
“Bila murid berada di rumah khususnya di peringkat umur rendah tentu mereka memerlukan bantuan dan sokongan, jadi siapakah boleh memainkan peranan ini, kita harapkan ibu bapa memberi kerjasama membantu anak-anak mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Habibah berkata, murid-murid sangat memerlukan motivasi untuk terus kekal bersemangat meskipun di rumah.
Justeru selain guru perlu kreatif, ibu bapa juga perlu memberi semangat kepada anak-anak mereka.
“Juga dari segi motivasi murid itu sendiri, bagi terus mengikuti pembelajaran di rumah itu (motivasi) juga penting kerana murid sudah biasa sekolah dalam bilik darjah fizikal, sekarang keadaan berbeza. Murid di rumah bagi peringkat umur rendah tidak biasa.
“Ada juga murid tidak biasa mengikuti pembelajaran dari rumah, ibu bapa boleh membantu mengurangkan kerisauan anak-anak ini bila mereka sudah biasa mengikuti kaedah yang kita syorkan mereka lebih bersedia,” tambahnya. – MalaysiaGazette