Hospital Melaka.- Gambar hiasan.

MELAKA – Hospital Melaka masih mempunyai cukup kakitangan untuk mengendalikan operasinya termasuk kes COVID-19 meskipun 32 kakitangan hospital itu didapati positif wabak berkenaan, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata Hospital Melaka masih mempunyai kakitangan untuk menggantikan tempat kakitangan yang didapati positif itu.

Menurutnya kesemua 32 kakitangan Hospital Melaka itu dikesan positif COVID-19 di bawah saringan Kluster Bukit Palah dan siasatan awal mendapati jangkitan berpunca daripada seorang pesakit dari Jempol, Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak berkenaan dan mendapat rawatan di institusi perubatan tersebut.

“Sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 168 individu yang merupakan kontak rapat yang dijangkiti telah disaring dengan 55 daripadanya masih belum mendapat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Katanya kini Melaka mempunyai 15 kluster dan jumlah positif COVID-19 di negeri itu sehingga semalam ialah sebanyak 3,078 kes dengan 1,299 kes aktif dan lapan kematian direkodkan.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata dua pelajar tingkatan lima masing-masing daripada sekolah asrama di Bukit Piatu di sini, dan sekolah berasrama penuh di Jasin didapati positif COVID-19.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast