Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan untuk bekerjasama rapat antara hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh Proklamasi Darurat.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan untuk bekerjasama rapat antara hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh Proklamasi Darurat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, integrasi itu bagi memastikan koordinasi yang sistematik dan jaminan akses kesihatan yang menyeluruh serta bersepadu dapat dilaksanakan untuk pesakit Covid-19 dan juga bukan Covid-19.

“Pendekatan utama yang telah dikenal pasti adalah dengan meletakkan hospital awam (hospital-hospital di bawah KKM, hospital universiti awam, dan hospital angkatan tentera) dan hospital swasta di bawah pengoperasian secara hibrid, berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu.

“Hospital Kluster ini akan beroperasi untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 mengikut arahan yang akan dikeluarkan oleh KKM,” kata Noor Hisham dalam kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sehingga semalam terdapat 210 hospital swasta berlesen di negara ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam (inpatient) bagi bidang Perubatan Dalaman (internal medicine).

“Daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan rawatan Covid-19 di mana jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil ICU, dan 54 mesin ventilator,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette