Dr. Asmah Razalli

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menggesa kerajaan permudahkan urusan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melalui saluran televisyen, bagi mengelak ibu bapa dan rakyat di pedalaman terbeban dengan kos persediaan kelas atas talian.

Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, beliau sedih dengan rungutan dan luahan ibu bapa terutama golongan B40 serta M40 yang mempunyai anak ramai bersekolah secara serentak, menampung keperluan sekolah anak.

Menurut beliau, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan setahun lalu, ramai ibu bapa hilang pekerjaan dan ada antaranya menerima gaji jauh lebih kecil dari sebelumnya, terbeban dengan tanggungan hutang.

“Ditambah pula dengan PdPR, maka ibu bapa terpaksa lakukannya demi memenuhi kehendak capaian silibus subjek persekolahan. Ini sebenarnya menambahkan lagi beban mereka.

“Ada ibu bapa terpaksa membeli telefon pintar atau komputer riba dan data internet untuk setiap anak yang bersekolah kerana sukar bagi mereka berkongsi peralatan itu jika PdPR dilakukan secara live stream.

“Pada Wirawati, pembelajaran secara atas talian ini tidak begitu mesra rakyat jika ramai ibu bapa berasa terbeban untuk menyediakan data internet dan pelbagai kemudahan streaming walaupun kerajaan mengumumkan pakej PENJANA untuk bantuan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, inilah masanya stesen televisyen nasional, swasta dan satelit menyalurkan kebajikan korporat masing-masing atas rasa tanggungjawab untuk mengadakan beberapa saluran khas pendidikan wajib khusus untuk subjek Tahun Satu hingga ke Tingkatan Enam.

Kata Dr. Asmah, TV Pendidikan secara integrasi yang merakam dan menyiarkan subjek dalam bentuk rakaman mampu diulang oleh pelajar, sekali gus menjimatkan masa dan wang ibu bapa terutama yang berhempas pulas mencari rezeki.

Beliau menyarankan, Kementerian Pendidikan mewujudkan Jawatankuasa Pendidikan Saluran TV Pendidikan untuk mengolah sistem PdPR yang lebih efisen, jimat dan tidak membebankan ibu bapa terutama yang tidak mempunyai telefon bimbit mahupun komputer riba.

“Kementerian Pendidikan juga perlu bersikap lebih empati dalam menyusun atur PdPR yang lebih mesra ibu bapa dan anak-anak secara rakaman serta siaran berulang supaya hanya satu televisyen diperlukan untuk mereka bergilir mengikuti subjek wajib setiap hari.

“Inilah masanya saluran satelit mahupun swasta memberi khidmat bakti kepada negara dengan membantu rangkaian TV Nasional untuk menyalurkan kelas atas talian Tahun Satu hingga Tingkatan Enam kepada semua pelajar di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette