Kenya, Nigeria, UAE, beberapa negara di benua Amerika Selatan akan dimasukkan dalam senarai 30 negara berisiko tinggi jangkitan Covid-19 oleh UK.-Gambar hiasan.

LONDON – Perdana Menteri United Kingdom dijangka memperkenalkan kuarantin hotel selama 10 hari kepada pengembara yang kembali dari 30 negara berisiko tinggi penularan Covid-19.

Laporan mendakwa Boris Johnson dipercayai telah bertemu pihak berkepentingan dalam kerajaan dan kesihatan UK semalam berhubung syarat baharu yang hendak dilaksanakan itu.

Dasar baharu itu apabila dikuatkuasakan, setiap pengembara antarabangsa yang tiba dikehendaki membayar 1,000 pound dan menjalani kuarantin di hotel.

Antara negara yang dikategorikan dalam 30 negara beriskiko tinggi oleh UK adalah termasuk Portugal, Emiriyah Arab Bersatu, Kenya, Nigeria, Ethiopia dan negara Amerika Selatan dan Afrika Selatan.

Sistem baharu itu akan dilaksanakan di England mulai akhir minggu ini.

Bagaimanapun kerajaan UK berhak mewajibkan mana-mana pengembara yang datang ke UK supaya kuarantin kendiri selama 10 hari dengan segala kosnya perlu ditanggung sendiri.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Priti Patel dan Menteri Kesihatan, Matt Hancock mendesak untuk kuarantin kendiri mandatori kepada kesemua penggembara yang tiba ke negara itu ekoran kebimbangan penularan varian baharu virus Covid-19 yang menular di negara tersebut.

Bagaimanapun Johnson dan Menteri Pengangkutan, Grant Shapps lebih menumpukan konsep saringan bersasar.

Langkah berkenaan menyusul selepas angka kematian di negara itu melepasi paras 100,000 kematian semalam dengan perdana menteri merakamkan takziah kepada rakyatnya yang telah kehilangan ahli keluarganya kepada pandemik maut itu.

Pada awal Januari ini, kerajaan UK mengumumkan semua pintu masuk negara ditutup dengan para pengembara perlu mengemukakan bukti keputusan negatif Covid-19, 72 jam sebelum pulang.- MalaysiaGazette