Hubungan China dan Taiwan semakin tegang selepas Amerika Syarikat menyatakan sokongan kepada Taiwan. foto Agensi

BEIJING – China memberi amaran bahawa cubaan Taiwan untuk mendapatkan kebebasan bermakna mencari perang.

Amaran itu muncul selepas China melakukan aktiviti ketenteraan dan menerbangkan pesawat pejuang berhampiran pulau itu.

Reaksi tegas Beijing itu juga dibuat sebaik sahaja Presiden Joe Biden menegaskan komitmennya kepada Taiwan dan menyatakan pendiriannya di Asia.

China melihat Taiwan yang demokratik sebagai wilayah yang terpisah, tetapi Taiwan melihat negara itu sebagai berdaulat.

“Kami dengan serius memberitahu pasukan kemerdekaan Taiwan: mereka yang bermain dengan api akan membakar diri dan kemerdekaan Taiwan bermaksud perang,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian pada sidang media.

Beliau juga mempertahankan aktiviti ketenteraan China baru-baru ini dengan menyifatkan ia adalah “tindakan yang diperlukan untuk mengatasi situasi keselamatan semasa di Selat Taiwan dan untuk menjaga kedaulatan dan keamanan negara”.

China dan Taiwan mempunyai kerajaan yang terpisah sejak berakhirnya perang saudara China pada tahun 1949.

Beijing telah lama berusaha untuk mengehadkan aktiviti antarabangsa Taiwan dan kedua-duanya telah bersaing untuk mempengaruhi wilayah Pasifik.

Ketegangan meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan Beijing tidak menolak penggunaan tentera untuk mengambil kembali pulau itu.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast