KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperkenalkan Inisiatif SmartHalal QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal bagi memudahkan pengguna mengetahui status halal sesuatu produk.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh, sistem QR Code itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam pensijilan halal Malaysia.
“Dengan adanya sistem QR Code ini, orang ramai dapat mengetahui status halal sesuatu produk atau perkhidmatan dengan lebih pantas.
“Di samping itu, ia juga dapat membantu pemain industri untuk memperoleh pelbagai informasi berkaitan prosedur pensijilan halal terkini dengan lebih cepat dan tepat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
QR Code itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut Abdul Aziz, pengguna boleh memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem QR Code.
Beliau berharap inisiatif itu memberi manfaat yang besar kepada ummah seterusnya mengekalkan imej pensijilan halal Malaysia selaku peneraju pensijilan halal bertaraf dunia. – MalaysiaGazette